Thursday, 24 December 2015

Panggung Wayang Akan Dibuka Di Kelantan Tetapi Ada Syarat

MUNGKIN ini satu perkhabaran yang baik untuk warga kelantan yang bakal menikmati movie-movie menarik yang mana kita tahu kerajaan negeri telah meluluskan pembukaan panggung wayang tetapi ada syarat yang telah ditetap oleh kerajaan negeri yang dipegang oleh PARTI PAS.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, bagaimanapun pihak berkenaan perlu mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 yang ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah membekukan lesen pawagam kepada pengusaha, namun menegaskan peraturan mesti dipatuhi sebelum dibenarkan beroperasi.

“Memang ada cadangan membuka pawagam, dan sepanjang saya memegang portfolio ini, ada tiga syarikat termasuk TGV Cinema datang berbincang mengenai perkara tersebut. Kita tak ada masalah untuk menerimanya.

“Tetapi pihak berkenaan mesti mematuhi enakmen ditetapkan.

"Ketika perbincangan antara kerajaan negeri dan syarikat terbabit diadakan, kita jelaskan mengenai syarat yang perlu dipatuhi, mereka kata akan datang kembali, tapi dari awal tahun lalu hingga hari ini, tidak ada yang datang,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Exco, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas iklan sebuah syarikat pasar raya terkemuka yang akan memulakan operasinya April ini dengan menyediakan sebuah pawagam.

Abdul Fattah berkata, daripada penjelasan diterima, pihak terlibat mungkin tidak dapat mematuhi enakmen berkenaan, kerana mempunyai perjanjian dengan agensi atau pengeluar filem dari luar.

Katanya, Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 menggariskan syarat yang mungkin tidak dapat dipatuhi.

Antara syarat-syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan :-

- Tidak dibenarkan sebarang tayangan pada waktu maghrib begitu juga pada malam Jumaat dan Bulan Ramadhan.
- Perlu diasing antara lelaki dan juga perempuan.

Beliau berkata, pihaknya percaya jika tidak dihalang dengan ikatan perjanjian antara agensi pengeluar filem dari luar negara, tidak ada masalah untuk syarikat terbabit mematuhi enakmen berkenaan.

Sekiranya menjadi realiti, ia detik sejarah kepada Kelantan selepas operasinya industri pawagam dikatakan dihentikan kira-kira 20 tahun lalu.

P/S : Bincangkan secara berhemah. Adakah rakyat Kelantan menerima pembukaan panggung wayang ini ?

Show comments
Hide comments


EmoticonEmoticon